Monday, 1 August 2011

Marhaban Ya Ramadahan...

Menjelang sudah Ramadhan untuk tahun ni... Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberikan peluang menikmati ramadahan yang mulia ini...

Dengan kerendahan hati sama-sama lah kita memohon kemaafan... bukan saja di hari raya.. tp di bulan ramadhan ini pun adalah menjadi satu kemestian untuk kita saling bermaafan sesama kita... oleh itu fuzah ingin memohon maaf kepada sesiapa yang mengenali diri ini andai ada terkasar atau tersilap bahasa... peace no war k... 0-0... hehe..





Sunday, 24 July 2011

Temuduga pertama....


Apa aku nak ceritakan kat sini adalah tentang temuduga pertama aku... erm... ni lah temuduga pertama aku sepanjang hidup aku yang dah 24 tahun ni...(terfikir, dah tua aku rupanya)... Tempat yang aku nak gi temuduga ni kat company ECHO Broadband Sdn. Bhd. dekat Pulau Tikus Penang....

Apa yang bermain dalam fikiran aku ni macam2 la yang berputar, berlegar, berpusing dalam otak aku ni.... Biasalah firstime nak pegi temuduga kerja... kesian kan kat aku, orang lain dah banyak kali, aku ni baru nak cari pengalaman.... Apa2 pun, aku kena mencuba...

Yang aku takutkan tentang temuduga ni bukan apa...  masalahnya company tu full speaking in English... waaaaa... aku rasa boleh ke aku speaking nanti.. aku ni, bukan boleh... bila dah nervous, apa pun tak boleyyyy... habis berterabur, broken, speaking aku nanti.. sentence or words yang simple pun aku mungkin akan terlupa... so, masalah yg perlu aku atasi..... apa2 pun belasah je la.. harap2 aku akan diterima kerja.. Amin...

Ok.. mau chau dulu.. chau cincau.. nanti aku update lagi tentang mcm mana suasana temuduga tu... Bye...

Saturday, 23 July 2011

Nikmat Yg tertinggi di dalam syurga....


Seperti yang dijanjikan oleh pencipta kita, sesiapa yang beriman dan bertaqwa pasti akan memperolehi nikmat yang tak terhingga saat tiba waktunya yang telah ditentukan. Apa yang dijanjikan adalah setiap yang hidup pasti akan merasai mati, setiap yang berbuat dosa pasti akan mndapat balasannya di neraka dan setiap yang beriman kepada Allah dan berbuat baik semasa kehidupannya di dunia pasti akan mendapat balasannya di syurga. Nikmat yang tertinggi di dalam syurga adalah melihat wajah Allah SWT  iaitu Tuhan yg kita rindui bagi sekalian umatNya yang bertaqwa. Setiap orang yang beriman pasti tertunggu saat-saat untuk melihat wajah Allah SWT, tuhan yang menciptakan kita. Di sini ada satu kisah yang ingin saya kongsikan bersama dengan kawan2. Kisah yang mmbuatkan aku semakin merindui kekasihku yg sejati iaitu Allah, yang membuatkan hatiku bergetar dan menitiskan air mata serta ingin sekali bertemu denganNya dalam keadaan yang beriman kepadaNya... Tuhan yang menciptakan kita semua dan segala isi alam ini... ALLAH SWT.. Mari kita ikuti kisahNya...

Dari Abu Hurairah R.A, para manusia bertanya kepada Rasulullah S.A.W, “Ya Rasulullah, apakah kita semua dapat melihat Allah pada hari kiamat nanti?” Nabi menjawab, “Apakah kamu ragu-ragu dapat melihat bulan pada waktu purnama, melihat matahari apabila tidak dilindungi awan?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya kamu semua akan melihat Allah sebagaimana kamu jelas melihat bulan purnama dan matahari yang tidak dilindungi awan”. 
Rasulullah pernah bertanya kepada Jibril, “Hai Jibril pernahkah kamu melihat Allah?” Jawab Jibril, “Bahawa di antara aku dan Allah ada 79 hijab yang terdiri dari lapisan-lapisan cahaya. Bila terbuka hijab yang paling luar, maka akan terbakarlah aku memandangNya. Sedangkan antara engkau dan Allah ada 71 lapisan hijab dari cahaya. Bila terbuka hijab yang paling luar, engkau akan terbakar pula memandangnya.” 
Dari sini kita dapat lihat amat mustahil untuk melihat wajah Allah di dunia ini. Nabi Musa A.S pernah meminta kepada Allah untuk melihatNya. Tetapi baru sahaja Allah menunjukkan diri kepada gunung, gunung itu bergegar dan hancur sehingga Musa jatuh pengsan. Ini membuktikan gunung yang kuat lagi kukuh akan hancur bila Allah menunjukkan diriNya, inikan pula manusia yang lemah. 
Diriwayatkan setelah para penghuni syurga selesai menikmati susana paling indah dan berbeza pada hari pertama di syurga, lalu mereka dipakaikan dengan pakaian yg serba indah yang dihadiahkan oleh Allah. Setelah itu Allah memerintahkan malaikat Jibril menghantar bau-bauan harum untuk para tetamu yang tidak terbilang ramainya itu. Kemudian muncul pula burung ajaib yang rupanya terlalu cantik terbang di udara taman syurga. 
Burung ajaib itu mengembangkan sayapnya maka terperciklah bau-bauan harum semerbak merenjis pada tubuh dan pakaian ahli syurga. Maka bertambah harum dan nyaman susana waktu itu. Tercengang para penghuni syurga melihat keajaiban yang berlaku. Ia sebagai balasan kepada janji Allah untuk orang yang beriman. 
Seketika kemudian terdengar satu suara yang paling ganjil dan menakjubkan memenuhi ruang taman syurga yang luas. Suara itu merupakan kalimah dari Allah S.W.T sendiri yang pertama kali didengar oleh manusia. Firman Allah, “Apakah lagi permintaan kamu kepada Aku wahai hamba-hambaKu? Mintalah kepada Aku dan Aku akan memenuhi kehendak kamu semuanya”. 
Semua penghuni syurga ketika itu tergamam, terdiam, tercengang dan terperanjat apabila mendengar kalimah dari Allah. Ia suatu nikmat yang paling berharga. Kemudian seluruh manusia yang memenuhi ruang taman syurga itu berkata, “Wahai tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah sempurnakan janjiMu tentang kenikmatan yang akan Engkau anugerahkan ke atas hamba-hambaMu yang mengsyukuri setiap nikmat di dunia dahulu. Demikian pun wahai tuhan kami, izinkanlah kami untuk melihat wajahMu di hari akhirat yang telah Engkau janjikan ini”. 

Seketika kemudian secara tiba-tiba, muncullah sebuah mimbar yang amat ajaib di taman syurga. Lalu muncul malaikat Jibril membimbing tangan Nabi Musa naik ke atas mimbar yang indah itu untuk membacakan kitab Taurat supaya dapat dihayati oleh seluruh umat manusia di dalam syurga. Selesai membaca kitab Taurat dengan bacaan yang lembut itu, maka Jibril menjemput pula Nabi Isamemperdengarkan bacaan kitab Injil yang pernah diturunkan Allah kepada beliau.
 
Kemudian Jibril mempersilakan Nabi Daud membacakan kitab suci Zabur dan beliau membaca dengan suara yang enak sekali didengar. Selesai kitab Zabur dibacakan, Jibril akhirnya menjemput junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ke atas mimbar untuk membacakan kitab suci Al-Quran. Rasulullah membaca dengan suara yang paling merdu dan lembut serta tak pernah didengari oleh sesiapa pun sewaktu di dunia dahulu sehinggakan semua penghuni syurga terpegun. 
Setelah selesai pembacaan keempat-empat kitab suci yang pernah diturunkan kepada umat manusia di dunia dahulu, maka terangkatlah suatu hijab (halangan) di langit syurga ketika itu. Apabila terbuka sahaja hijab itu, maka keluarlah angin yang lembut bersama sejenis bauan yang sangat harum dan menakjubkan. Sekalian manusia di syurga berasa terkejut melihat suatu kejadian paling ajaib yang tak pernah terfikir oleh akal. 
Kemudian terbuka lagi sebuah hijab yang lebih besar iaitu hijab yang menghalang setiap makhluk melihat wajah Allah S.W.T. Di sinilah saat paling nikmat dan paling berharga bagi setiap penghuni syurga kerana di sinilah tempat pertemuan yang sebenarnya antara manusia dengan Allah. Allah lalu memberi salam kepada sekalian manusia dan seluruh manusia menyambut salam dengan rasa nikmat dan syukur tak terperi.
Berkatalah seluruh manusia kepada Allah yang Maha Pencipta, yang Maha Berkuasa, yang Maha Pengasih dan Penyayang, “Wahai tuhan kami, izinkanlah kami sujud kepadaMu hari ini”. Allah lalu berfirman, “Wahai hamba-hambaKu, hari ini bukanlah merupakan suatu hari untuk kamu semua rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi hari ini adalah hari pembalasan nikmat untuk kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hambaKu, syurga bukanlah tempat kamu semua berbuat ibadat, tetapi ia merupakan tempat mulia untuk kamu merasa kesenangan nikmat yang berkekalan. Walaupun begitu, demi keagunganKu, Aku izinkan kamu semua sujud sekali kepadaKu pada hari ini”.
 
Dari Shuhaib R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Apabila ahli syurga telah masuk ke syurga, Allah berfirman, “Apakah kalian ingin tambahan sesuatu dariKu?” Kata mereka, “Bukankah Engkau telah memutihkan wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?” Lalu Allah membuka hijabNya, maka tidak ada pemberian yang paling mereka cintai melainkan melihat wajah Allah Azza wa Jalla. Kemudian Rasulullah S.A.W membaca ayat ini, “Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.” [Yunus: 26]
Melihat Allah S.W.T merupakan kenikmatan yang paling dicintai bagi penghuni syurga. Selain itu, keistimewaan syurga Firdaus ialah para penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Sedangkan nikmat yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila manusia dapat menatap wajah Allah.




Tuesday, 19 July 2011

Mata, Hati dan cinta.....


Jika CINTA hanya di MATA....
CINTA akan hilang saat MATA merasa kekurangan....

Jika CINTA datangnya pada HATI...
CINTA akan sentiasa Menemani....
CINTA akan sentiasa melengkapi...
CINTA akan sentiasa Meredhai...

CINTA yang di cari dengan MATA...
Pastikah akan bahagia selamanya...
CINTA yang dicari dengan HATI...
Kebahagiaan pasti akan menanti....


P/S : Cinta yang sejati hanya pada Allah SWT... Dia sentiasa menyayangi walaupun diri kekurangan... sentiasa    memberi saat diri memerlukan... Carilah cintaNya, sebelum kamu mencari cinta hambaNya... Kerana tanpa CintaNya, cinta sejati dari hambaNya yang bertakwa bukanlah mudah untuk kau perolehi... Percayalah dengan Janji-janji Allah... sesekali Dia tak akan menghampakan hambanya yang sering berusaha, bertawakal dan mengingatiNya dalam setiap doa yang dipanjatkan.. Semuanya bermula dengan HATI... jangan percaya pada pandangan MATA... kerana mata mampu merosakkan HATI... Jagailah kemanisan IMAN.. Hanya Iman yang bertakhta di hati mampu mengesan apa yang tersirat.... SesungguhNya Allah SWT lebih tahu apa yang terbaik buat hambaNya... Kita sebagai hambanya hendaklah selalu berdoa dalam mendapatkan yang terbaik dan diredhainya dalam setiap langkah yang dicipta...
Wallahuallam... :-)


Sunday, 17 July 2011

Satu Bintang......

Bintang yang berkelip,
sampaikan satu petanda
saat kau terzahir
dalam sebuah kata..

Kau hadir bagaikan
cahaya memancar jiwa
ku dambakan syurga
di saat kau menjelma...

Satu bintang disana 
nampakkan cahayanya
terangkan dia di sana
walau ku tak berdaya...

Satu bintang di sana
terang sepanjang masa
cintaku kan bersama
walau jasad ku sirna...

kau jadikan ku terasing
dan jauh darimu...
tak termampu abadi
ke akhir waktu

lepaskanlah seandainya
Terbeban hatimu...
dan bayangku masih tetap menemanmu.......


Apa Itu Karma...


Mungkin setiap orang akan  mengalaminya... itulah lumrah kehidupan.. setiap apa yg dilakukan pasti akan dapat balasannya.. sama ada perkara itu baik atau buruk...  namun apa yg bermain di fikiran adakah itu berkaitan dengan KARMA...

Apa itu karma yer.. dan boleh ke kita percaya tentang hukum karma ni???  mari kita kaji sesama.. 

Seperti yang di ketahui, perkataan karma itu sendiri merupakan satu perkataan dari agama Buddha yang menjelaskan tindakan atau perilaku seseorg itu dari segi perbuatan, pemikiran mahupun ucapan dengan niat baik atau buruk pasti akan menerima balasannya kelak atau ayat mudahnya "buat baik di balas baik, buat jahat di balas jahat". Ada pula mengatakan setiap apa yg diperkatakan diatas adalah berkaitan denga wujudnya  karma dalam kehidupan manusia... dari mana datangnya karma ini? dan sejauh mana kewujudannya dalam kehidupan manusia??? dan apakah kebenarannya dapat ditemui dalam Islam...

Dalam sesuatu teori yang lain juga, saya ada menemui yang mengatakan Karma bukanlah sesuatu yang hanya berkaitan dengan agama buddha atau agama hindu sahaja. Karma membawa maksud perbuatan dan penyebabnya; sama seperti "reactivity theory". setiap manusia melakukan karma dari bangun pagi sehingga masuk tidur waktu malam. setiap perbuatan seperti berfikir, berbual, memandang, mendengar, menyentuh, makanan , minuman dan sebagainya yang kita lakukan seharian ada karmanya sendiri. Ini bermaksud, kita akan menanggung hasil setiap perkara yg dilakukan di kemudian hari. hasil yang kita dapat dari perbuatan kita mungkin sesuatu yang positive atau negative, atau sesuatu yang besar atau kecil, tetapi hasilnya pasti kita akan dapat. Contohnya:

Karma dari makanan boleh diterangkan sebegini :


Katakanlah kita makan Kari daging Kambing .
Makan kari kambing adalah suatu kerja ; hasil atau karmanya yang kita dapat ialah seperti berikut.

  1. Badan kita dapat lemak , protien dan sebagainya
  2. Lemak badan kita bertambah
  3. Badan kita bertambah panas
  4. Akan diserang sakit kepala

Jika makan daging kambing berterusan Karmanya akan berubah seperti berikut :
  1. Tahap kolostrol dalam badan meningkat
  2. Mungkin akan diserang penyakit berkaitan jantung
  3. Tekanan darah meningkat
  4. Boleh menyebabkan kematian

Karma bukan sesuatu yang hanya berkaitan dengan  daging kambing atau makanan sahaja . Ini hanya mengunakannya untuk menerangkan erti karma dalam makanan. Karma ialah gaji , ganjaran atau denda yang kita dapat untuk sesuatu yang kita kerjakan , mungkin kita dapat terus hasilnnya atau mengambil masa yang lama.  Karmanya  tetap akan menyerang dan mengikuti kita sehingga dan selepas kematian...

Itu adalah berkaitan dengan theori karma.. namun, berbalik kepada apa yang dibincangkan sebelum ini, berkenaan tentang "Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat" jadi saya cuba mencari satu implikasi atau sesuatu yg dapat dijadikan panduan yang hampir tepat, iatu sepotong ayat dari Al-Quran yang berbunyi:
"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini."( Al-Furqaan 25:63 )
Berdasarkan ayat diatas adalah lebih baik, kita mendoakan kesejahteraan dan memohon agar dia bertaubat pada setiap perbuatan buruk yang dilakukannya. Apa pun yang berlaku dalam setiap kehidupan ini adalah DUGAAN yang dihadirkan PENCIPTA kita iaitu ALLAH kepada setiap hambanya samaada ujian kesenangan atau  kesusahan. Mungkin hari ini hari kita, tak mustahil suatu hari nanti kita juga akan mengalaminya.. semuanya atas izin Allah... kita sebagai hambaNya hendaklah redha diatas setiap yg telah ditentukan... Berdoa dan bermohonlah selalu kepadaNya agar ditetapkan IMAN. Hanya IMAN yang dapat mengatasi segala-galanya.. WALLAHUALLAM... 

Saturday, 16 July 2011

Nisfu Syaaban dan Fatwa Tentangnya...


 Sebagaimana telah kita ketahui apabila tibanya malam 15 Sya’aban, ramai yang akan ke masjid untuk solat jemaah dan membaca yasin sebanyak 3 kali. Tetapi tahukah kita dari mana amalan itu berasal? Sedangkan kita tahu, bahawa sesuatu ibadah khusus yang dilakukan jika tiada amalan atau dalil dari nabi Muhammad S.a.w maka dikira bid’ah.

Persoalannya mengapa perlu dilakukan sebanyak 3 kali dan dikhususkan pada malam tersebut? Sedangkan bacaan Yasin boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terhad kepada berapa kali.

Seperti yang selalu saya lihat, bacaan Yasin yang dibuat sebanyak 3 kali itu dilakukan dengan pantas dan terkejar-kejar. Mungkin ianya sesuai dengan orang yang sudah mahir membaca Qasar, tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mahir dengan bacaan Qasar lebih-lebih lagi bagi yang tidak mahir membaca AlQuran bertajwid. Tidakkah itu sudah menjadi tunggang-langgang dan tidak berlaku dalam keadaan yang tenang. Apakah bagus membaca AlQuran dalam keadaan tergesa-gesa dan salah tajwidnya? Apakah hikmah di sebalik tergesa-gesa dan tidak faham apa yang dibaca itu?

Sebenarnya tiada hadith yang sahih yang memberitahu tentang bacaan yasin 3 kali pada malam nisfu Syaaban ini dan jika ada pun, ianya adalah hadith berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban yang dhaif dan juga terdapat dalam hadith maudhu’ (palsu). Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis dhaif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan. Tetapi tidak sekali-kali dengan hadith maudhu’. Ingat, hadith maudhu’ maknanya hadith PALSU, dan hadith PALSU hanyalah hadith yang direka-reka oleh golongan tertentu. Dengan kerana itu, adalah penting agar kita berhati-hati dalam memahami martabat sesuatu hadith itu.

Namun , dalam soal bacaan Yasin sebanyak 3 kali dalam nisfu Syaaban tetap tidak ada hadith yang sahih berkenaannya dan amalan tersebut tiada ditunjukkan contoh langsung oleh nabi dan sahabat. Maka mengapa kita sekarang ini mengadakan majlis tersebut di masjid-masjid apabila tibanya malam nisfu Syaaban sahaja? Mengapa perlu menetapkan malam itu untuk membaca Yasin 3 kali dan berduyun-duyun menuju ke masjid sedangkan malam lain tidak? Itu yang perlu diperhati bersama.

Dan saya tidak berani mengatakan amalan tersebut haram. tetapi kita perlu ingat, amalan ibadah khusus yang bukannya berasal dari nabi sudah dikira bid’ah dan dibimbangi amalan itu akan menjadi penat dan lelah semata-mata kerana tidak berasas atau menambah dosa sahaja. Tetapi menurut fatwa dari Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, amalan itu dikira bid’ah dan penjelasannya ada saya sertakan di bawah nanti.

Maka sebaiknya adalah kita lakukan sahaja amalan membaca Yasin atau apa-apa sahaja bacaan AlQuran , tanpa perlu dikhususkan 3 kali dan seumpamanya. Dan yang penting, bacaan itu biarlah TERTIB, TENANG dan memberi keinsafan kepada kita dan bukannya semata-mata mahu mengejar pahala sehingga membaca AlQuran dengan tergopoh dan salah tajwid dan mengatakan sepatutnya melakukan bacaan Yasin 3 kali itu.

Pengertian nisfu Syaaban

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”

Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”

Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14 hb sya’aban sebaik sahaja masuk maghrib)

Fatwa tentang merayakan malam Nisfu Syaaban

Bacaan yasin

Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban ( 15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.

Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masa kini tentang sahih batilnya amalan ini.

Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.

Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!

‘Solat Sunat’ Nisfu Syaaban

Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?” [al-Syur.a 42:21]

Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya… Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya.

Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.

Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.

Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.

Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.

Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.

Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” [al-Nisa’ 4:59]

“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]

Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.

Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…

Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”

Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).

Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar menjauhinya.

Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”

Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak diketahui asal-usulnya).

Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).

Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.

Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”

Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w.”

Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”

Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang mencari kebenaran.

Daripada ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat (radhiallahu `anhum).

Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya):
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah (R.A) berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan-berterusan.’”

Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi Muhammad s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.

Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah s.a.w memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah ampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”

Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat Baginda (R.A) pasti akan memperturunkan amalan amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah, radhiallahu `anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat Rasulullah s.a.w.

Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w mahupun Para Sahabat (R.A) berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat tertentu adalah bid’ah yang tercela.

Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang diada-adakan.”

Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.

Ulasan dan terjemahan fatwa : www.darulkautsar.com
[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]

Rujukan :

1 – http://e-malabari.net/ugama/nisfusyaaban.htm
2 – http://www.darulkautsar.com